
CERITA KITA



Mungkin ramai dalam kalangan anda yang tidak tahu tentang kuih ini. Bagi generasi muda seperti saya sendiri nama dan bentuk kuih tradisional yang diberi adalah sesuatu yang asing.
Kuih bunga pudak ini merupakan salah satu daripada kuih asli di negeri Kedah. Kuih ini terkenal terutamanya di bahagian utara Kedah seperti Jitra dan Alor Star. Tetapi sayangnya, kuih bunga pudak ini semakin dilupakan dan mungkin bakal pupus jika tiada golongan pelapis yang berminat untuk mempelajari cara-cara membuat kuih tersebut.
Antara bahan yang digunakan untuk membuat kuih ini adalah tepung pulut, kelapa parut serta sedikit pewarna. Tepung pulut itu hendaklah diadun bersama sedikit air untuk dijadikan kulit luarnya manakala kelapa parut pula dicampurkan sedikit pewarna dan digaulkan dengan gula bagi dijadikan inti kuih bunga pudak.
Uniknya di sini, dapur minyak tanah akan digunakan untuk menjaga api supaya kulit luarnya tidak hangus. Tetapi, dapur minyak tanah sukar untuk diperoleh pada masa kini. Jadi, guna dapur gas sajalah.
Pengalaman penulis membuat sendiri bunga pudak ini amat la susah. Nampak gaya seperti mudah sahaja untuk menghasilkannya, tetapi kuih orang dulu-dulu selalunya memerlukan teknik kemahiran yang tinggi untuk mendapatkan hasil yang baik dan halus. Masa buat kuih ini memang mencabar. Apatah lagi bagi yang pertama kalinya buat. Sebab itulah kuih bunga pudak ini hampir pupus. Mana taknya, orang Kedah sendiri pun tak pandai buat kuih bunga pudak ini.
Perkara yang paling rumit sepanjang proses penghasilan kuih ini adalah semasa melipat kulitnya. Jika terlalu cepat, kulitnya belum masak dan jika terlalu lama, kulitnya akan hangus dan tidak melekat. Jadi, kena pandai-pandai la mengagak. Apa-apa pun, selamat mencuba!